Soalan-soalan Lazim

(Sila rujuk topik ini sepanjang masa kerana sentiasa akan dikemaskini)

Jawapan dan soalan di bawah dirujuk melalui situasi dan senario sebenar. Ianya boleh berubah daripada situasi yang pernah atau yang akan anda hadapi. Saya tidak memberikan jawapan untuk setiap soalan melainkan tips-tips, nasihat-nasihat dan contoh kajian kes sahaja. Ini kerana saya khuatiri semua pembaca akan memberikan jawapan sama seperti yang saya berikan. Bayangkan jika ada sepuluh pembaca yang berhadapan dengan penemuduga yang sama dan memberikan jawapan yang berulang-ulang.

1. Bagaimana jika latar belakang akademik saya tidak bersesuaian dengan jawatan yang dipohon. Anda perlu memberi justifikasi yang bersesuaian berkaitan jawatan yang dipohon. Sebagai contoh, jika anda mempunyai Diploma Kejuruteraan Elektronik dan jawatan yang dipohon sebagai Eksekutif Kewangan. Maka anda perlu memberikan jawapan mengenai pengalaman bekerja ataupun minat anda yang terarah kepada jawatan tersebut ataupun penglibatan anda sepanjang pengajian dalam melaksanakan tugasan-tugasan yang berkaitan. Jawapan-jawapan yang perlu dielakkan. Jangan sekali-kali memberikan jawapan anda hanya ingin mencuba dan meminta diberi peluang kerana dah lama menganggur. Jawapan ini langsung tidak akan membantu anda.

2.Bagaimana jika saya tidak mempunyai pengalaman? Soalan yang anda perlu ajukan untuk diri anda, kenapa anda memohon jawatan tersebut? Pasti ada kriteria tertentu (selain ingin mencuba atau ingin bekerja dengan syarikat besar, GLC atau MNC) yang membuatkan anda memohonnya. Kenalpasti dan berikan jawapan yang membuatkan penemuduga yakin dengan jawapan anda. Pengetahuan yang ada selain daripada pengalaman kerja boleh membantu anda menjawab dengan baik. Kadangkala latarbelakang keluarga anda sebagai peniaga turut mampu membantu ataupun pengalaman ketika di universiti ataupun semasa praktikal. Buat sedikit kajiselidik mengenai latarbelakang syarikat serta maklumat mengenai jawatan yang dipohon untuk memberikan anda kelebihan berbanding dengan calon lain. Cuba sedaya upaya untuk meyakinkan penemuduga dengan segala kelebihan anda. Jawapan-jawapan yang perlu dielakkan. Jangan menipu pengalaman kerja anda. Penemuduga berfungsi mengenalpasti kekuatan dan kelemahan anda. Sebarang cubaan menipu maklumat ketika temuduga akan menjejaskan permohonan anda. Jika anda bernasib baik dan diterima bekerja, anda akan tetap mengalami kesukaran untuk mengadaptasikan dengan persekitaran anda. Kenapa anda perlu bersusah-payah? Lebih baik anda mencari pengalaman bekerja walaupun bukan di bidang pengajian akademik anda akan tetapi setiap pengalaman bekerja dan pengetahuan yang diperolehi itu tetap membuahkan ilmu yang berguna bagi anda. lebih baik bekerja daripada menunggu kerja yang diimpikan (baca: dream job).

3. Kenapa kami perlu mengambil anda bekerja di organisasi ini? Penemuduga sebenarnya ingin mengetahui apakah yang mampu anda sumbangkan jika anda diterima bekerja. Ceritakan kekuatan anda untuk jawatan yang dipohon sebagai contoh anda memohon untuk jawatan Pegawai Akaun. Maka anda perlu menceritakan dengan baik apakah pengalaman atau pengetahuan anda ketika belajar dan maklumkan jika ada skil-skil tertentu yang anda perolehi ketika belajar di institusi pengajian tinggi dahulu. Sertakan dengan matlamat anda dalam mempertingkatkan pengetahuan anda jika diterima bekerja di sana. Jawapan-jawapan yang perlu dielakkan. Kebiasaannya jangan terlalu memuji diri anda dan memberitahu anda mampu membuat semua perkara. Tiada siapa yang mampu membuat semua perkara. Jangan menjerat diri anda dengan memberitahu penemuduga bahawasanya anda sanggup atau mampu membuat apa sahaja untuk mendapatkan jawatan tersebut. Mereka akan lebih meragui anda dan mula bertanyakan soalan-soalan yang di luar konteks untuk menilai kemampuan anda. Anda sebenarnya memanjangkan tempoh temuduga dan dikhuatiri anda bermula dengan baik dan berakhir dengan teruk. Ini kerana semua pemohon menjanjikan mampu membuat semua perkara sebelum mendapat kerja, mampu datang awal, mampu kerja lebih masa, mampu bekerja pada hujung minggu jika diperlukan dan macam-macam lagi. Selepas mendapat kerja semuanya tidak seperti yang dijanjikan.

4. Kenapa anda ingin bekerja di sini? Paling penting anda perlu membuat sedikit kajiselidik mengenai latarbelakang syarikat serta maklumat mengenai jawatan yang dipohon dan cuba membuat pelbagai pilihan jawapan. Sebagai seorang graduan, anda perlulah menjawab soalan dengan bernas dan memenuhi kehendak soalan. Cuba fikirkan sesuatu yang kreatif. Sebagai contoh anda ingin memohon di TM, anda perlu menjustifikasikan latar belakang akademik dan pengetahuan anda dengan jawatan yang dipohon. Anda sememangnya technology savvy dan suka eksplorasi berkaitan jalur lebar berkelajuan tinggi (high speed broadband) dan ceritakan pengetahuan anda mengenainya. Jawapan-jawapan yang perlu dielakkan. Kebiasaannya kita akan menjawab kerana syarikat ini stabil, kerana ianya GLC dan terjamin, kerana di sini saya boleh bekerja lama dan sebagainya. Ini sebenarnya jawapan yang boleh menjejaskan permohonan anda. Kami mendapat maklumbalas berkenaan soalan ini dari GLC dan calon yang menjawab ingin bekerja dengan mereka kerana ianya GLC, terjamin dan yang seumpama dengannya sedangkan merekalah yang pertama sekali tidak berjaya untuk ke peringkat seterusnya. Kebanyakan pemohon akan menjawab soalan sebegini dengan cara yang sama dan tipikal.

5. Kenapa anda berhenti dari syarikat lama atau kenapa anda ingin mencari kerja lain? Saya tahu semua ingin menjawab kerana ingin mencari peluang yang lebih baik, gaji yang lebih baik dan yang seumpama. Akan tetapi sebenarnya anda langsung tidak memberikan jawapan yang memuaskan kerana anda boleh mengulangi perkara yang sama di tempat yang baru dan inilah yang paling ditakuti oleh penemuduga. Berikan jawapan seperti anda ingin mempelajari sesuatu yang baru, teknologi baru, mencari peluang yang berkaitan dengan latarbelakang akademik anda, minat dalam jawatan yang ditawarkan kerana anda mempunyai pengalaman ataupun pengetahuan mendalam mengenainya. Paling penting, fikirkan jawapan anda yang bernas dan  logik. Jawapan-jawapan yang perlu dielakkan. Jangan sekali-kali memburukkan syarikat lama anda. Berikan Justifikasi tepat atau yang logik walaupun anda memang tidak berpuas hati dengan syarikat lama anda kerana penemuduga menilai bahawasanya anda cuma memberikan perspektif dari sudut anda sahaja sedangkan apabila dirujuk kepada syarikat lama, masalah sebenarnya datang dari anda seperti mengengkari arahan, malas, datang lambat dan sebagainya. Segala kesilapan atau kekurangan syarikat lama anda tidak perlu diketahui oleh sesiapapun. Ingat, membuka aib seseorang adalah lebih buruk daripada pelakunya dan aib anda sendiri malah akan dibuka di hadapan rumah anda sendiri (mafhum Hadis). Tiada siapa yang sempurna dan profesional dalam menjawab soalan walaupun anda cuma memohon jawatan kerani.

Jangan sekali-kali menyangkal pendapat penemuduga walaupun anda tahu ianya salah kerana yang ingin mencari kerja adalah anda dan bukannya mereka. Jangan sekali-kali menegakkan idea anda kerana sesi temuduga bukanlah tempatnya. Kadangkala di sesetengah tempat, terlalu idealistik boleh menyukarkan permohonan anda melainkan pendapat anda selari dengan penemuduga. Jangan membodek penemuduga ataupun memuji berlebih-lebihan. Jangan benarkan sebarang ruang yang tidak perlu untuk dipersoalkan oleh penemuduga seperti kekurangan dokumen dan sebagainya. Perkara-perkara sebegini cuma menyulitkan anda. Teruskan sesi temuduga seperti yang dikehendaki oleh penemuduga dan menjawab soalan seperti yang dikehendaki.  

 

2 Comments (+add yours?)

  1. Trackback: Masa Pendaftaran & Temuduga Serta No Giliran | Makluman Mengenai Penempatan Pekerjaan Graduan MyCareer, MyFuture
  2. Trackback: PANDUAN TEMUDUGA MAYBANK (ESOK, 13 JULAI 2010) | Makluman Mengenai Penempatan Pekerjaan Graduan MyCareer, MyFuture

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: