PANDUAN MEMULAKAN KERJAYA

(Artikel yang sentiasa akan dikemaskini)

Bayangkan anda diminta hadir untuk sesi temuduga sebagai Eksekutif Kewangan di sebuah institusi perbankan yang ternama. Skop kerja anda membantu memproses segala urusan pinjaman dan pembiayaan klien anda serta lain-lain tugasan yang tiada kena mengena dengan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat anda. Apa yang perlu anda buat?

Mengenalpasti Maklumat. Maklumat yang anda ada ialah jawatan, institusi perbankan ternama, skop kerja serta latar belakang akademik anda. 

Memproses Maklumat. Tawaran menarik kerana ianya datang dari sebuah institusi terkenal. Anda pula belum bekerja ataupun sedang bekerja dan ingin mencari pengalaman baru (Baca: Gaji dan imbuhan di tempat kerja sekarang kurang menarik). Juga ianya kurang menarik kerana skop tugasannya tiada kena mengena dengan minat & latar belakang anda (dalam bidang komunikasi).

Menilai Maklumat. Kesukaran memasuki institusi perbankan. Apatah lagi yang ternama, jika tidak yang terbaik ianya antara yang terbaik. Tentunya menjanjikan gaji serta imbuhan yang menarik. Bukankah ini yang anda idam-idamkan? Tambahan pula anda tiada kerja atau mencari peluang baru (Baca: Simpanan bulanan anda semakin kecil sedangkan nafsu anda semakin besar).

Penyelesaian. Cuba anda belajar bersabar dan jangan perasan dengan cepat. ‘Panggilan temuduga’ bukanlah ‘tawaran pekerjaan’. Ini perlu anda fahami dengan baik. Jika anda tidak mencuba, tentunya anda tidak akan berjaya. Jika mencuba, sekurang-kurangnya anda ada peluang walaupun ianya cuma 50-50. Jika berjaya, pulangannya amat berbaloi. Walau anda bekerja di luar skop pembelajaran anda ketika di IPT dahulu tetapi adalah lebih baik anda bekerja di sebuah institusi/organisasi yang baik berbanding anda tidak mempunyai pekerjaan. Bulan pertama, anda akan tersenyum. Bulan kedua, anda masih mampu tersenyum. Bulan ketiga, anda sudah mula menyeringai dan tersenyum kelat. Bulan keempat, adakah anda masih mampu tersenyum?

Cuba ingati frasa ini dengan baik: Lebih mudah memohon jawatan Eksekutif Komunikasi Korporat sebagai staf melalui lantikan dalaman berbanding anda bersaing dengan ratusan malah ribuan pemohon yang tentunya berkali ganda lebih baik keputusannya berbanding anda.

Maka anda perlu bekerja dulu dengan peluang yang ada. Bagaimana? Anda perlu memahami perniagaan yang dijalankan bukan sekadar penyimpanan dan pengeluaran wang. Sektor perbankan sebegitu meluas meliputi pelaburan, pembiayaan, pinjaman, fasiliti kad kredit, unit amanah (unit trust), simpanan tetap (fixed deposit), insurans dan pelbagai lagi. Anda perlu tahu dan perlu memahami selok belok perbankan untuk memahirkan diri anda dalam ‘multitasking’ iaitu kemampuan dalam melakukan pelbagai kerja.

Perlu diingat, institusi yang ternama lebih mementingkan kualiti pekerja berbanding kuantiti pekerjanya. Sebagai pekerja, sudah tentu anda mempunyai kelebihan tersendiri. Satu, anda sedang bekerja dengan institusi yang sama. Kedua, anda mempunyai pengetahuan dan pengalaman mengenai institusi tersebut. Ketiga, anda lebih dikenali serta latarbelakang akademik anda lebih mudah dinilai kerana kata-kata anda lebih dipercayai berbanding anda sebagai seorang pemohon baru. Maka, lebih baik bekerja sementara menanti peluang yang lebih baik. Sabar dan jangan mudah keliru dengan perasaan anda.

Ego. Hentikan sikap meninggi diri anda dalam mencari kerjaya idaman anda (dream job) melainkan anda pasti boleh mendapatkannya dalam suatu tempoh yang anda sendiri tentukan. Jika tidak, anda akan berakhir dengan kekecewaan. Sebaliknya rebut dan capai peluang yang ada dan bersabar buat sementara waktu. Sekurang-kurangnya anda mempunyai pekerjaan dan dapat menimba pengalaman, anda mempunyai wang untuk pergi temuduga serta membayar bil-bil bulanan anda. Berbanding anda tidak mempunyai pekerjaan dan tiada pengalaman, tiada wang untuk pergi temuduga dan mengharapkan ehsan orang tua anda serta tiada wang walaupun untuk membeli kad prabayar anda (Sila abaikan frasa ini jika anda datangnya dari keluarga yang kaya raya dan anda pasti harta warisan anda tidak akan susut sampai bila-bila serta keluarga anda tidak kisah anda tidak mempunyai pekerjaan dalam suatu tempoh yang lama)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: