Program Kebolehpasaran Graduan MyCareer, MyFuture Kementerian Pengajian Tinggi

Program MCMF

Program Kebolehpasaran Graduan untuk melatih graduan yang belum mempunyai pekerjaan serta yang telah bekerja tetapi mahu mendapatkan latihan daripada pelatih-pelatih profesional dalam mempertingkatkan kebolehpasaran individu.

Program MCMF ini dibangunkan khusus untuk peserta selama enam minggu dalam memberikan penekanan kepada komunikasi dan pembentangan dalam Bahasa Inggeris, nahu dan tatabahasa, komunikasi inter perseorangan dan intra perseorangan, jatidiri dan pelbagai lagi. Modul ini dibentuk khusus bagi mempertingkatkan keyakinan peserta-peserta dalam masa enam minggu. Anda turut diberi latihan spesifik industri seperti Peruncitan (Retail), Hospitaliti, Kewangan (Finance), IT, Sumber Manusia (HR) dan Hubungah Pelanggan (Customer Service) selama 240 jam kredit.

Walaubagaimanapun program sebegini tidak akan berjaya atau kurang berkesan jika peserta-peserta kurang menitikberatkan latihan serta pembelajaran yang diterima sepanjang tempoh kursus komprehensif tersebut di mana ianya akan menyukarkan penempatan pekerjaan anda. Maka dengan ini, program bermanfaat sebegini hanya menjadi sia-sia jika kita sendiri tidak memanfaatkannya untuk mencari ilmu berguna dalam mempertingkatkan kredibiliti diri sendiri.

Insentif pengangkutan sebanyak RM75.00 seminggu atau penginapan percuma akan diberi untuk peserta yang layak dan dalam minggu kelima (5) pelajar akan mula didedahkan dengan temuduga sebenar sehinggalah mereka terpilih dengan mana-mana syarikat atau organisasi termasuk GLC (Government Linked Company), MNC (Multinational Corporation) serta pelbagai agensi pekerjaan penyumberan luar (BPO – Business Process Outsourcing).

Sayugia diingatkan, bahawasa penempatan pekerjaan tidak boleh dibuat sama sekali untuk mana-mana sektor kerajaan, akan tetapi tips-tips untuk menghadiri temuduga PTD/gred 41 boleh didapati di laman ini (sila rujuk Tips PTD/Gred 41).

Tiada sebarang caj atau bayaran dikenakan kerana kami di MyPartners Sdn Bhd bukan sebuah entiti pencari pekerjaan tetapi sebagai Pengurus Projek bagi Program di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menangani masalah kebolehpasaran graduan-graduan universiti yang menyumbang kepada peratusan peningkatan pengangguran kerana tidak mampu berdayasaing dalam keperluan industri yang semakin meningkat.

Program ini mampu memberi peluang pekerjaan untuk graduan yang tidak bekerja dalam mendapatkan pekerjaan asalkan anda tidak terlalu memilih (baca: hendak gaji besar, berdekatan rumah, organisasi ternama). Sememangnya kita mahukan pekerjaan yang stabil tetapi pada saya, peluang bekerja yang ada di depan mata tidak seharusnya dibiarkan berlalu begitu sahaja walau ianya tiada kena mengena dengan bidang akademik anda kerana ianya jauh lebih penting berbanding anda menganggur selama dua tiga bulan tanpa sebarang pekerjaan. Sementara itu baik anda bekerja dan gaji yang anda dapat tu boleh dimanfaatkan untuk pergi ke tempat temuduga yang seterusnya. Sampai bila kita nak berharap pada orang tua kita?

Kita seharusnya faham, peratusan pentauliahan (graduation) di setiap universiti setiap tahun semakin meningkat dengan pelbagai institusi IPTA/IPTS tetapi peluang pekerjaan semakin mengecil. Maka syarikat-syarikat semakin memilih dalam mencari pekerja untuk ditempatkan di organisasi mereka. Jika kita tidak mengambil peluang tersebut, maka orang lain yang akan mengambilnya.

Maka, persoalan untuk diri sendiri…

Adakah relevan lagi kita menongkat langit dalam memilih pekerjaan?

Comments are closed.

%d bloggers like this: