Kemaskini Temuduga Maybank: Tahniah Buat Graduan Yang Berjaya

(Disiarkan pada 13hb, Selasa 7.50 malam, kemaskini pada 14hb, Rabu 2.00 petang)

Alhamdulillah, syukur kepadaNYA kerana menganugerahkan kita dengan pelbagai nikmat dan kurniaan yang tidak terhingga.

Kami bertiga, saya dan pegawai-pegawai saya, Cik Nooreen serta Cik Mazfarina tiba di tempat temuduga di Tingkat 10, Hotel Legend sekitar jam 8.30 pagi. Kami disambut mesra oleh Maybank Recruitment Specialist, Encik Izwan dan diperkenalkan dengan recruitment team mereka sebelum kami dihidangkan dengan sarapan pagi yang disediakan oleh pihak hotel.

Seterusnya saya menemui beberapa pelajar yang datang awal untuk sesi temuduga dan saya berbesar hati kerana ramai yang datang awal dari waktu yang ditetapkan dan tidak kurang pula yang datang lewat tetapi tetap diberikan slot temuduga. Sesi temuduga kami dijadualkan sedikit lewat akan tetapi berjalan dengan lancar sehingga ke petang hari sekitar jam 5.00 petang.

Sebelum sampai ke tempat temuduga, saya menerima beberapa mesej daripada pelajar-pelajar yang dijemput hadir ke temuduga Maybank yang mengatakan bahawasanya mereka tidak dapat hadir kerana masalah ‘yang tiba-tiba terjadi di kampung’ serta alasan ‘ada kecemasan di kampung’. Saya khuatir dengan senario ini di mana pelajar-pelajar dengan tanpa rasa tanggungjawab sewenang-wenangnya melepaskan peluang untuk ditemuduga, di mana mereka sebenarnya telah menjejaskan permohonan seorang calon lain yang juga layak tetapi terpaksa kami ketepikan kerana kuota temuduga telah mencukupi. Alasan saya mudah, jika pagi temuduga tersebut baru mereka isytihar ada masalah di kampung, ini menunjukkan mereka sebenarnya tidak berminat untuk menghadiri temuduga tersebut kerana mereka sepatutnya dalam perjalanan ke tempat temuduga dan bukannya masih di kampung. Mereka telah menyusahkan pihak kami serta Maybank dan calon-calon yang lain.

Akan tetapi, mereka sebenarnya sedang merugikan diri mereka sendiri kerana mengambil mudah dan tidak memikirkan masalah yang akan timbul hasil dari perlakuan mereka. Amat malang sekali, kerana ketika belajar mereka didedahkan dengan pelbagai perkara tetapi mereka mensia-siakannya di zaman pasca belajar mereka. Mungkin pihak kementerian melalui maklumbalas rakan industri mereka perlu memperhalusi masalah ini ketika mereka di IPT dalam membasmi perilaku ini. Saya menyarankan mereka diberi slot dalam semester terakhir khusus untuk menilai sikap mereka, memberi penerangan serta makluman dan keperluan serta senario industri. Ini kerana graduan kita seolah-olah tidak peka serta mementingkan diri mereka (yang tentunya menyusahkan pelbagai pihak).

Sungguhpun begitu, melalui maklumbalas pihak Maybank, pelajar-pelajar yang telah dijemput tetapi tidak menghadiri temuduga yang ditetapkan kemungkinan besar akan ditahan permohonan mereka untuk masa-masa mendatang. Di pihak kami pula, nama anda akan kami senaraihitamkan dan nama anda dihantar ke pihak Kementerian Pengajian Tinggi serta IPT anda sebagai makluman. Maka, tentunya ini adil buat anda, bukan?

Akhir sekali, Alhamdulillah dalam ramai yang hadir temuduga pada hari ini, sebahagian besarnya yang berjaya menjawat jawatan Financial Executive serta Consumer Sales Executive dan anda akan ditempatkan di cawangan-cawangan Maybank serata Malaysia!

Bagi yang tidak berjaya, saya harap kegagalan anda pada hari ini dapat dijadikan panduan dan pedoman untuk masa yang akan datang. Saya sendiri dapat memperbaiki komunikasi saya dalam Bahasa Inggeris yang tak seberapa ini ketika temuduga dan ianya secara tidak langsung menjadikan saya lebih berkeyakinan dalam berdepan dengan audien yang ramai. Anda tidak diizinkanNYA untuk berjaya kerana barangkali kejayaan itu mempunyai asbab-asbab keburukan yang tersembunyi. InshaAllah anda kena yakin akan memperoleh rezeki yang lebih baik dari hari ini. Wallahualam.

Bagi yang berjaya, sekali lagi, tahniah dari kami di MyPartners!!!

Comments are closed.

%d bloggers like this: