Gagal Dalam Sebarang Temuduga

Anda mempunyai dua pilihan. Pertama, menangisi kekurangan diri. Kedua, motivasi diri sendiri.

Tetapi sebenarnya anda tidak dapat kerana tiada rezeki untuk anda bekerja di sana. Malah rezeki ini mutlak dari Allah Taala dan bukannya kerana anda hebat atau anda tidak hebat ketika temuduga. Saya ingin berkongsi serba sedikit pengalaman bersama anda sebagai kajian kes yang terbaik bagi topik ini.

Pengalaman ketika menghadiri temuduga. Saya telah membuat segala perancangan awal dan persiapan dengan teliti. Menghadiri temuduga dengan tenang serta berbahasa Inggeris dengan fasih dan petah sehinggakan saya sendiri terkejut dengan kemampuan diri sendiri dalam berbahasa Inggeris ketika ditemuduga pada hari tersebut. Segalanya berjalan dengan lancar dan temuduga saya berlangsung sehingga melebihi sejam dan ianya berakhir dengan saya berjabat tangan dengan penemuduga dan harapan begitu menggunung di hati serta saya amat yakin akan diterima bekerja. Percayalah, empat kali saya menghadapi senario yang sama, dengan empat organisasi MNC/GLC yang besar, dengan satu jawapan:

“Anda gagal dalam temuduga tersebut”. Puas saya menganalisa dan memperhalusi diri serta mencari di mana salah silapnya. Di mana ketikanya saya mungkin kelihatan terlalu ego ataupun bongkak serta kemungkinan salah memberikan jawapan? Tidak kerana tiada jawapan saya dipersoalkan. Kemungkinan gaji yang dipohon terlalu tinggi? Tidak kerana dalam keratan akhbar ada menyatakan skim gaji dan saya memohon berdasarkan kriteria tersebut. Penampilan kurang memuaskan ataupun kurang berpengetahuan? Juga tidak kerana keempat-empat temuduga tersebut saya hadiri dalam keadaan amat bersedia, memakai blazer serta saya telah melakukan sedikit kajian mengenai latarbelakang syarikat, jawatan yang dipohon dan lain-lain keperluan sepertimana temuduga-temuduga sebelumnya. Ketika temuduga mereka juga kelihatannya amat berminat dan kami berbual serta bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai topik.

Tidak mencuba dengan baik ketika temuduga. Tetapi jika ini masalah yang anda hadapi ketika temuduga, sebaik-baiknya anda hendaklah menganalisa keperluan-keperluan ketika ditemuduga. Periksa dokumen yang diperlukan, menyemak latarbelakang syarikat dan jawatan yang dipohon, memperbaiki cara anda berpakaian, mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang sepatutnya ketika ditemuduga serta soalan-soalan lazim dan jawapan terbaik yang bersesuaian. Elakkan kelihatan anda agak kurang berkeyakinan ketika ditemuduga, keliru ataupun terlalu yakin mahupun terlalu peramah tidak bertempat. Setiap individu akan mengalami senario yang berlainan untuk setiap temuduga dan itulah kajian kes anda yang terbaik.

Waima anda telah bersedia dengan persiapan untuk ditemuduga akan tetapi masih tidak berjaya, sekurang-kurangnya anda memperoleh sesuatu yang amat berharga iaitu:

PENGALAMAN YANG BOLEH MENGAJAR ANDA MENJADI LEBIH BAIK DARI SEBELUMNYA

Adakah anda tertekan? Kecewa barangkali? Atau ianya semakin menenggelamkan keyakinan diri anda? Bagi diri saya, jawapannya, ya saya sedikit kecewa kerana semua organisasi tersebut adalah organisasi idaman sejak sekian lama. Adakah saya tertekan? Tidak kerana saya tahu saya telah mencuba dan membuat yang terbaik. Keyakinan diri semakin menurun? Tidak kerana saya yakin rezeki dari Allah Taala SEMATA-MATA dan saya TIDAK diizinkanNYA untuk berjaya dalam temuduga tersebut kerana ianya pasti yang terbaik untuk saya. Mungkin jika saya berjaya tetapi tidak mampu membuat kerja dan akhirnya diberhentikan. Mungkin jika saya berjaya tetapi saya tenggelam dengan suasana di tempat kerja, semakin riak dan bongkak kerana status pekerjaan tersebut dan mula tidak menghargai dan bersyukur dengan apa yang ada. Atau mungkin jika saya berjaya tetapi kerana desakan kerja membuatkan saya pulang lewat dan semakin kurangnya masa bersama keluarga. Contoh-contoh di atas adalah ASBAB kepada tidak terzahirnya kerja itu kepada saya.

Jangan terbawa-bawa sebaliknya cuba dan teruskan mencuba kerana sememangnya tidak ada rezeki kita di sana. InshaAllah Allah Taala tangguhkan untuk digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. ‘Lebih baik’ tidak beerti gaji yang tinggi mahupun imbuhan yang bernilai tetapi sesuatu yang terbaik bagi diri anda secara keseluruhan.

Pengalaman kegagalan yang lampau membuatkan saya semakin yakin kerana telah menghadapi pelbagai temuduga dari yang biasa, mudah sehinggalah kepada yang paling sukar dengan pelbagai sesi tapisan untuk mencari yang terbaik.

Maka ianya telah menjadi satu pengajaran dan pengalaman yang baik buat saya dan mendorong saya untuk lebih berkeyakinan dalam komunikasi berbagai peringkat, berdepan dengan audien, kelancaran dan kepetahan bercakap, mencari jawapan yang terbaik dalam waktu yang singkat, mengawal emosi, menangani tekanan dan sebagainya.

Jadikan kegagalan anda sebagai lonjakan untuk lebih berkeyakinan bagi membangun jatidiri anda.

%d bloggers like this: