Tawaran Pekerjaan Di Luar Bidang Akademik Ataupun Minat Anda

Topik ini sering menimbulkan konflik di kalangan pekerja terutama bagi graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Anda seringkali akan terpedaya dengan ‘kecenderungan’ anda berbanding ‘keperluan diri’ anda.

Keperluan diri anda ialah, anda memerlukan pekerjaan. Dengan bekerja anda akan memperolehi gaji. Dengan gaji yang ada anda mampu melunaskan perbelanjaan harian dan bulanan anda. Sebahagian besar gaji kita kebiasaannya akan dihabiskan untuk tiga perkara penting. Pertama, perbelanjaan makan minum anda. Kedua, pembiayaan pinjaman kenderaan serta perbelanjaan untuk tol, minyak dan meletak kereta anda. Ketiga, perbelanjaan untuk sewa rumah ataupun bilik anda. Ini adalah contoh keperluan tetap anda tidak termasuk bil telefon, memberi seratus dua kepada orang tua dan adik-adik anda serta sekali sekala berbelanja untuk pakaian. Berlibur ataupun mencari hiburan tidak termasuk dalam perbelanjaan kerana ini hanya memudaratkan anda, mental dan fizikal.

Kecenderungan anda ialah, bekerja di sektor yang diidam-idamkan. Menjawat jawatan yang telah lama anda ingini. Bergaji besar. Tempat bekerja berdekatan dengan rumah anda. Pendek kata segala-galanya indah.

Realiti. Jika anda mampu mengetahui bila waktu dan ketika anda akan diambil bekerja mengikut pekerjaan idaman dan kecenderungan serta anda mampu bertoleransi dengan masa senggang selama anda tidak bekerja itu, maka anda berhak untuk tidak menghadiri ataupun menolak mana-mana peluang temuduga. Jika anda tidak mampu untuk mengetahui bilakah organisasi idaman anda akan menawarkan anda peluang bekerja di tempat mereka, maka luang-luangkanlah masa anda untuk mencuba. Sekurang-kurangnya anda akan memperoleh pengalaman berharga ketika ditemuduga (sila rujuk Gagal Dalam Sebarang Temuduga).

Tips 1. Peluang anda lebih meluas jika anda tidak menghadkan diri anda untuk menghadiri pelbagai temuduga di luar bidang akademik atau minat anda. Bayangkan anda diterima bekerja sebagai Eksekutif Perhubungan Pelanggan (Customer Service Executive) sedangkan anda mempunyai Ijazah Perakaunan Dengan Kepujian dari sebuah institusi yang terkemuka. Organisasi yang sama tentunya mempunyai jabatan perakaunan dan kewangannya yang tersendiri cuma buat masa sekarang mereka belum memerlukan Eksekutif Akaun kerana eksekutif sedia ada masih bertugas dan jabatan mereka belum dikembangkan. Di masa hadapan, kemungkinan mereka ingin menambah bilangan Eksekutif Akaun Ataupun Eksekutif Kewangan dan tentunya peluang itu terbuka luas buat anda melalui ‘lantikan dalaman’ (internal promotion) berbanding calon luar yang belum mengetahui mengenai urusniaga dan perjalanan organisasi tersebut serta mengambil masa untuk dilatih. Berbaloi untuk mencuba, bukan?

Tips 2: Rasionalkan Tindakan Anda. Anda perlu bersabar dan membuat timbangtara dengan teliti sebelum membuat sesuatu keputusan. Jangan biarkan rakan-rakan mempengaruhi keputusan yang diambil kerana mereka tidak tahu masalah anda dan jika anda tidak bekerja buat beberapa ketika, mereka tidak akan menyara anda sehingga anda memperoleh sebarang jawatan kelak. Ibubapa anda tentunya lebih rasional dalam membantu anda membuat keputusan. Ingat, ketaatan kepada kedua orang tua anda akan membuatkan kehidupan anda dirahmati dan dipermudahkanNYA dalam segala urusan.

Tips 3: Berfikiran Positif dan Bersyukur. Jika buat seketika anda masih kekal di tempat yang sama untuk beberapa lama, anda tetap perlu bersyukur dan memandangnya dari sudut yang positif. Anda mempunyai pekerjaan, sedangkan masih ada rakan anda yang belum bekerja. Anda mempunyai gaji bulanan, sedangkan masih ada rakan anda yang meminta ehsan ibubapa mereka untuk mendapatkan belanja pergi ke tempat temuduga. Anda sedang menimba pengalaman, sedangkan berapa ramai di luar sana yang masih membuang masa tidak tentu hala. Sekurang-kurangnya anda sudah mampu membantu sedikit sebanyak keluarga dan melunaskan pinjaman PTPTN serta gunakannya untuk menghadiri temuduga yang lain jika anda masih teruja untuk mencari pekerjaan berlandaskan minat dan latarbelakang akademik anda.

Kesimpulan. Kekalkan dalam minda anda mengenai senario dan realiti bekerja di luar bidang akademik atau di luar minat anda adalah berpuluh kali lebih baik dari menunggu-nunggu pekerjaan idaman anda datang bergolek di depan mata (Baca: Anda sudah menganggur selama beberapa bulan)

Comments are closed.

%d bloggers like this: