Hubungan Industri

Pihak Kementerian Pengajian Tinggi dengan pelbagai inisiatifnya telah melancarkan PELAN PENGUKUHAN KERJASAMA UNIVERSITI INDUSTRI / MASYARAKAT pada 19 Julai 2010 bertempat di J. W Marriot Putrajaya bersempena dengan perasmian majlis yang julung-julung kali diadakan tersebut.

Sehubungan itu adalah diharapkan pihak industri akan lebih memanfaatkan peluang yang ada bukan sekadar hadir ke majlis tersebut untuk memenuhi undangan pihak Kementerian Pengajian Tinggi serta kerana dihadiri oleh pelbagai VVIP termasuk Y. Bhg. Menteri Pengajian Tinggi YB Dato’ Seri Khaled Nordin, Y. Bhg. KSU KPT Tan Sri Dr Zulkefli B. A. Hassan dan Y. Bhg. TKSU KPT Dato’ Dr Ramli serta dengan kehadiran Y. Bhg. Dato Ir. Dr Radin Umar B Radin Sohadi selaku Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi.

Hasrat kerajaan dan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi  dalam menangani masalah graduan menganggur/tidak bekerja amatlah positif sekali tetapi bak kata pepatah yang tertera pada kad jemputan perasmian tersebut, “dayung sudah di tangan, perahu sudah di air’, bermakna realitinya graduan sudah tersedia, peluang pekerjaan juga terbuka luas di pelbagai organisasi akan tetapi jalinan kerjasama itu sendiri yang belum terjalin.

Pihak industri perlu memainkan peranan penting dalam menggembleng usaha untuk melatih ataupun menempatkan graduan di organisasi masing-masing. Bagi graduan yang kurang mempunyai kelayakan, kami amat berharap sekiranya mereka ini diberikan peluang untuk mendapatkan latihan industri di setiap organisasi yang hadir pada majlis perasmian tersebut sebagai melambangkan komitmen dan  hubungan kerjasama di antara universiti-industri/masyarakat dan bukannya sekadar formaliti menghadiri majlis ataupun sekadar retorik semata-mata jika hanya graduan yang terbaik sahaja yang diambil dan dinilai, sedangkan rata-rata yang ada tidak semuanya mempunyai ijazah kelas pertama atau CGPA 3.50 dan ke atas.

Selepas menjalani latihan, prestasi dan tahap kecekapan mereka akan dinilai untuk ditempatkan di organisasi berkenaan jika bersesuaian. Jika masih tidak bersesuaian untuk diserap, ianya memberi makna graduan ini setelah menjalani beberapa lama latihan industri di organisasi terpilih akan tetapi mereka masih tidak berkelayakan. Ini merumuskan mereka perlu diberi latihan pembangunan diri dan personaliti, cara berkomunikasi, keyakinan dan kemahiran untuk berkata-kata serta berhadapan dengan audien dan sebagainya.

Dan anda selaku graduan harus menjalani latihan & penempatan bagi memajukan diri anda dalam mengenalpasti kekuatan dan memperbaiki kelemahan diri anda sendiri serta jangan terlalu memilih pekerjaan!

Comments are closed.

%d bloggers like this: