PANDUAN MEMULAKAN KERJAYA

(Artikel yang sentiasa akan dikemaskini)

Bayangkan anda diminta hadir untuk sesi temuduga sebagai Eksekutif Kewangan di sebuah institusi perbankan yang ternama. Skop kerja anda membantu memproses segala urusan pinjaman dan pembiayaan klien anda serta lain-lain tugasan yang tiada kena mengena dengan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat anda. Apa yang perlu anda buat?

Mengenalpasti Maklumat. Maklumat yang anda ada ialah jawatan, institusi perbankan ternama, skop kerja serta latar belakang akademik anda. 

Memproses Maklumat. Tawaran menarik kerana ianya datang dari sebuah institusi terkenal. Anda pula belum bekerja ataupun sedang bekerja dan ingin mencari pengalaman baru (Baca: Gaji dan imbuhan di tempat kerja sekarang kurang menarik). Juga ianya kurang menarik kerana skop tugasannya tiada kena mengena dengan minat & latar belakang anda (dalam bidang komunikasi).

Menilai Maklumat. Kesukaran memasuki institusi perbankan. Apatah lagi yang ternama, jika tidak yang terbaik ianya antara yang terbaik. Tentunya menjanjikan gaji serta imbuhan yang menarik. Bukankah ini yang anda idam-idamkan? Tambahan pula anda tiada kerja atau mencari peluang baru (Baca: Simpanan bulanan anda semakin kecil sedangkan nafsu anda semakin besar).

Penyelesaian. Cuba anda belajar bersabar dan jangan perasan dengan cepat. ‘Panggilan temuduga’ bukanlah ‘tawaran pekerjaan’. Ini perlu anda fahami dengan baik. Jika anda tidak mencuba, tentunya anda tidak akan berjaya. Jika mencuba, sekurang-kurangnya anda ada peluang walaupun ianya cuma 50-50. Jika berjaya, pulangannya amat berbaloi. Walau anda bekerja di luar skop pembelajaran anda ketika di IPT dahulu tetapi adalah lebih baik anda bekerja di sebuah institusi/organisasi yang baik berbanding anda tidak mempunyai pekerjaan. Bulan pertama, anda akan tersenyum. Bulan kedua, anda masih mampu tersenyum. Bulan ketiga, anda sudah mula menyeringai dan tersenyum kelat. Bulan keempat, adakah anda masih mampu tersenyum?

Cuba ingati frasa ini dengan baik: Lebih mudah memohon jawatan Eksekutif Komunikasi Korporat sebagai staf melalui lantikan dalaman berbanding anda bersaing dengan ratusan malah ribuan pemohon yang tentunya berkali ganda lebih baik keputusannya berbanding anda.

Maka anda perlu bekerja dulu dengan peluang yang ada. Bagaimana? Anda perlu memahami perniagaan yang dijalankan bukan sekadar penyimpanan dan pengeluaran wang. Sektor perbankan sebegitu meluas meliputi pelaburan, pembiayaan, pinjaman, fasiliti kad kredit, unit amanah (unit trust), simpanan tetap (fixed deposit), insurans dan pelbagai lagi. Anda perlu tahu dan perlu memahami selok belok perbankan untuk memahirkan diri anda dalam ‘multitasking’ iaitu kemampuan dalam melakukan pelbagai kerja.

Perlu diingat, institusi yang ternama lebih mementingkan kualiti pekerja berbanding kuantiti pekerjanya. Sebagai pekerja, sudah tentu anda mempunyai kelebihan tersendiri. Satu, anda sedang bekerja dengan institusi yang sama. Kedua, anda mempunyai pengetahuan dan pengalaman mengenai institusi tersebut. Ketiga, anda lebih dikenali serta latarbelakang akademik anda lebih mudah dinilai kerana kata-kata anda lebih dipercayai berbanding anda sebagai seorang pemohon baru. Maka, lebih baik bekerja sementara menanti peluang yang lebih baik. Sabar dan jangan mudah keliru dengan perasaan anda.

Ego. Hentikan sikap meninggi diri anda dalam mencari kerjaya idaman anda (dream job) melainkan anda pasti boleh mendapatkannya dalam suatu tempoh yang anda sendiri tentukan. Jika tidak, anda akan berakhir dengan kekecewaan. Sebaliknya rebut dan capai peluang yang ada dan bersabar buat sementara waktu. Sekurang-kurangnya anda mempunyai pekerjaan dan dapat menimba pengalaman, anda mempunyai wang untuk pergi temuduga serta membayar bil-bil bulanan anda. Berbanding anda tidak mempunyai pekerjaan dan tiada pengalaman, tiada wang untuk pergi temuduga dan mengharapkan ehsan orang tua anda serta tiada wang walaupun untuk membeli kad prabayar anda (Sila abaikan frasa ini jika anda datangnya dari keluarga yang kaya raya dan anda pasti harta warisan anda tidak akan susut sampai bila-bila serta keluarga anda tidak kisah anda tidak mempunyai pekerjaan dalam suatu tempoh yang lama)

Advertisements

PANDUAN TEMUDUGA MAYBANK (ESOK, 13 JULAI 2010)

1. Calon dikehendaki menyedia & melengkapkan segala dokumen penting yang diperlukan. Sila rujuk Makluman Penting & Dokumen Perlu Dibawa. Kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan permohonan anda.

2. Calon dikehendaki memahami skop dan bidang tugas sebagai FE dan CSE yang ditawarkan. Sila rujuk Consumer Sales Executive & Financial Executive (MAYBANK) untuk memudahkan pemahaman anda. Buat makluman, jawatan ini dikenali sebagai ‘entry level’ untuk bekerja di sektor perbankan (sila rujuk PANDUAN MEMULAKAN KERJAYA.

3. Calon dikehendaki melayari tips-tips temuduga terutama Soalan-soalan Lazim serta Etika Ketika Menghadapi Temuduga.

Etika Ketika Menghadapi Temuduga

(Sila rujuk topik ini sepanjang masa kerana sentiasa akan dikemaskini)

Etika Berpakaian. Anda perlu berpakaian formal walaupun anda ditemuduga untuk jawatan Pembantu Teknikal di TM Berhad. Tidak mengira apa jua permohonan dan jawatan, sila hadiri temuduga anda sebaik-baiknya. Walaupun anda tidak pernah berkemeja sebelum ini, turunkan rasa ego anda dan ikuti segala etika ketika ditemuduga. Sila rujuk Tatacara Berpakaian ketika Temuduga.

Dokumen. Anda perlu menyediakan segala dokumen yang lengkap dan menyusunnya mengikut susunan yang betul. Temuduga dengan sektor perbankan biasanya lebih rumit penyediaan dokumennya berbanding temuduga PTD! Sungguhpun demikian, kerajaan mempunyai prosedur ‘tapisan halus’ untuk mengenalpasti calon-calon yang terpilih. Maka jangan terlalu gembira dengan pernyataan tadi.

Gantinama. Gunakan gantinama penemuduga dengan sesuai. Sebagai contoh jika temuduga untuk jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, anda sebaik-baiknya menggunakan gantinama ‘Tuan’ dan ‘Puan’ kerana ianya gantinama ‘selamat’ walaupun penemuduga anda berkemungkinan besar bergelar Dato’ ataupun Pegawai Kanan di Kementerian. Jika anda mengenali penemuduga anda, maka gunakan gantinama Dato’ tersebut. Jika di sektor swasta, GLC mahupun MNC sila gunakan gantinama ‘Encik’ ataupun ‘Tuan’ juga tidak menjadi masalah. Dalam Bahasa Inggeris gunakan gantinama ‘Sir’ atau ‘Madam’.

Masalah gantinama ini jangan dipandang ringan kerana ianya termasuk dalam etika ketika ditemuduga. Anda boleh menyulitkan keadaan jika penemuduga kurang berpuas hati dengan gantinama yang digunakan ke atas mereka dan permohonan anda mungkin dipertikaikan.

Menjawab soalan dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia? Kebiasaannya permulaan temuduga tidak salah jika anda menyapa penemuduga tetapi awas jangan terlalu friendly. Kemudian penemuduga akan mula melontarkan soalan-soalan sama ada berkaitan dengan bidang pekerjaan yang dimohon ataupun sekadar untuk berbual-bual. Jika anda fasih, teruskan berbual di dalam Bahasa Inggeris dan penguasaan anda akan terus dinilai. Jika penemuduga bertanyakan dalam Bahasa Inggeris, kemudian Bahasa Malaysia untuk soalan seterusnya, anda mempunyai dua pilihan. Pertama, terus menjawab dalam Bahasa Inggeris dan keduanya anda boleh bertanyakan mereka (dalam Bahasa Inggeris), “Adakah Tuan ingin saya teruskan dalam Bahasa Inggeris?” Tidak salah bertanya dan ini menunjukkan tahap keyakinan anda. Kemudian jawab mengikut yang diarahkan atau jika mereka tidak kisah anda menjawab dalam apa jua bahasa, maka anda jawab dalam bahasa yang membuatkan anda lebih selesa. Perlu diingat, ada penemuduga yang menyoal dalam Bahasa Malaysia akan tetapi marah jika kita menjawabnya dalam Bahasa Malaysia. Senario ini agak jarang berlaku tetapi jika anda menghadapinya, anda perlu bertenang. Jangan panik tetapi sebaliknya minta maaf dan teruskan menjawab dalam Bahasa Inggeris.

Apabila anda disoal. Pertama sekali anda perlu bersedia dan bertenang serta dengar soalan dengan teliti. Kedua, anda perlu memahami soalan dengan baik, jangan merangka-rangka jawapan lagi ketika soalan masih ditanyakan kepada anda nanti ianya akan menyebabkan anda terlalu cepat menjawab soalan. Jangan cuba menjawab soalan dengan gopoh tetapi bertenang dan cuba memahami komposisi soalan dan jawapan yang difikirkan sesuai.

Kategori Jawapan. Kategori jawapan antaranya seperti jawapan yang baik dan menepati kehendak soalan, jawapan selamat dan jawapan yang dijawab di luar konteks soalan (elakkan menjawab sebegini kerana ianya akan menjejaskan permohonan anda).

Senyum. Sentiasa tersenyum ketika ditemuduga walaupun anda dilanyak ketika sesi temuduga.

Soalan-soalan Lazim

(Sila rujuk topik ini sepanjang masa kerana sentiasa akan dikemaskini)

Jawapan dan soalan di bawah dirujuk melalui situasi dan senario sebenar. Ianya boleh berubah daripada situasi yang pernah atau yang akan anda hadapi. Saya tidak memberikan jawapan untuk setiap soalan melainkan tips-tips, nasihat-nasihat dan contoh kajian kes sahaja. Ini kerana saya khuatiri semua pembaca akan memberikan jawapan sama seperti yang saya berikan. Bayangkan jika ada sepuluh pembaca yang berhadapan dengan penemuduga yang sama dan memberikan jawapan yang berulang-ulang.

1. Bagaimana jika latar belakang akademik saya tidak bersesuaian dengan jawatan yang dipohon. Anda perlu memberi justifikasi yang bersesuaian berkaitan jawatan yang dipohon. Sebagai contoh, jika anda mempunyai Diploma Kejuruteraan Elektronik dan jawatan yang dipohon sebagai Eksekutif Kewangan. Maka anda perlu memberikan jawapan mengenai pengalaman bekerja ataupun minat anda yang terarah kepada jawatan tersebut ataupun penglibatan anda sepanjang pengajian dalam melaksanakan tugasan-tugasan yang berkaitan. Jawapan-jawapan yang perlu dielakkan. Jangan sekali-kali memberikan jawapan anda hanya ingin mencuba dan meminta diberi peluang kerana dah lama menganggur. Jawapan ini langsung tidak akan membantu anda.

2.Bagaimana jika saya tidak mempunyai pengalaman? Soalan yang anda perlu ajukan untuk diri anda, kenapa anda memohon jawatan tersebut? Pasti ada kriteria tertentu (selain ingin mencuba atau ingin bekerja dengan syarikat besar, GLC atau MNC) yang membuatkan anda memohonnya. Kenalpasti dan berikan jawapan yang membuatkan penemuduga yakin dengan jawapan anda. Pengetahuan yang ada selain daripada pengalaman kerja boleh membantu anda menjawab dengan baik. Kadangkala latarbelakang keluarga anda sebagai peniaga turut mampu membantu ataupun pengalaman ketika di universiti ataupun semasa praktikal. Buat sedikit kajiselidik mengenai latarbelakang syarikat serta maklumat mengenai jawatan yang dipohon untuk memberikan anda kelebihan berbanding dengan calon lain. Cuba sedaya upaya untuk meyakinkan penemuduga dengan segala kelebihan anda. Jawapan-jawapan yang perlu dielakkan. Jangan menipu pengalaman kerja anda. Penemuduga berfungsi mengenalpasti kekuatan dan kelemahan anda. Sebarang cubaan menipu maklumat ketika temuduga akan menjejaskan permohonan anda. Jika anda bernasib baik dan diterima bekerja, anda akan tetap mengalami kesukaran untuk mengadaptasikan dengan persekitaran anda. Kenapa anda perlu bersusah-payah? Lebih baik anda mencari pengalaman bekerja walaupun bukan di bidang pengajian akademik anda akan tetapi setiap pengalaman bekerja dan pengetahuan yang diperolehi itu tetap membuahkan ilmu yang berguna bagi anda. lebih baik bekerja daripada menunggu kerja yang diimpikan (baca: dream job).

3. Kenapa kami perlu mengambil anda bekerja di organisasi ini? Penemuduga sebenarnya ingin mengetahui apakah yang mampu anda sumbangkan jika anda diterima bekerja. Ceritakan kekuatan anda untuk jawatan yang dipohon sebagai contoh anda memohon untuk jawatan Pegawai Akaun. Maka anda perlu menceritakan dengan baik apakah pengalaman atau pengetahuan anda ketika belajar dan maklumkan jika ada skil-skil tertentu yang anda perolehi ketika belajar di institusi pengajian tinggi dahulu. Sertakan dengan matlamat anda dalam mempertingkatkan pengetahuan anda jika diterima bekerja di sana. Jawapan-jawapan yang perlu dielakkan. Kebiasaannya jangan terlalu memuji diri anda dan memberitahu anda mampu membuat semua perkara. Tiada siapa yang mampu membuat semua perkara. Jangan menjerat diri anda dengan memberitahu penemuduga bahawasanya anda sanggup atau mampu membuat apa sahaja untuk mendapatkan jawatan tersebut. Mereka akan lebih meragui anda dan mula bertanyakan soalan-soalan yang di luar konteks untuk menilai kemampuan anda. Anda sebenarnya memanjangkan tempoh temuduga dan dikhuatiri anda bermula dengan baik dan berakhir dengan teruk. Ini kerana semua pemohon menjanjikan mampu membuat semua perkara sebelum mendapat kerja, mampu datang awal, mampu kerja lebih masa, mampu bekerja pada hujung minggu jika diperlukan dan macam-macam lagi. Selepas mendapat kerja semuanya tidak seperti yang dijanjikan.

4. Kenapa anda ingin bekerja di sini? Paling penting anda perlu membuat sedikit kajiselidik mengenai latarbelakang syarikat serta maklumat mengenai jawatan yang dipohon dan cuba membuat pelbagai pilihan jawapan. Sebagai seorang graduan, anda perlulah menjawab soalan dengan bernas dan memenuhi kehendak soalan. Cuba fikirkan sesuatu yang kreatif. Sebagai contoh anda ingin memohon di TM, anda perlu menjustifikasikan latar belakang akademik dan pengetahuan anda dengan jawatan yang dipohon. Anda sememangnya technology savvy dan suka eksplorasi berkaitan jalur lebar berkelajuan tinggi (high speed broadband) dan ceritakan pengetahuan anda mengenainya. Jawapan-jawapan yang perlu dielakkan. Kebiasaannya kita akan menjawab kerana syarikat ini stabil, kerana ianya GLC dan terjamin, kerana di sini saya boleh bekerja lama dan sebagainya. Ini sebenarnya jawapan yang boleh menjejaskan permohonan anda. Kami mendapat maklumbalas berkenaan soalan ini dari GLC dan calon yang menjawab ingin bekerja dengan mereka kerana ianya GLC, terjamin dan yang seumpama dengannya sedangkan merekalah yang pertama sekali tidak berjaya untuk ke peringkat seterusnya. Kebanyakan pemohon akan menjawab soalan sebegini dengan cara yang sama dan tipikal.

5. Kenapa anda berhenti dari syarikat lama atau kenapa anda ingin mencari kerja lain? Saya tahu semua ingin menjawab kerana ingin mencari peluang yang lebih baik, gaji yang lebih baik dan yang seumpama. Akan tetapi sebenarnya anda langsung tidak memberikan jawapan yang memuaskan kerana anda boleh mengulangi perkara yang sama di tempat yang baru dan inilah yang paling ditakuti oleh penemuduga. Berikan jawapan seperti anda ingin mempelajari sesuatu yang baru, teknologi baru, mencari peluang yang berkaitan dengan latarbelakang akademik anda, minat dalam jawatan yang ditawarkan kerana anda mempunyai pengalaman ataupun pengetahuan mendalam mengenainya. Paling penting, fikirkan jawapan anda yang bernas dan  logik. Jawapan-jawapan yang perlu dielakkan. Jangan sekali-kali memburukkan syarikat lama anda. Berikan Justifikasi tepat atau yang logik walaupun anda memang tidak berpuas hati dengan syarikat lama anda kerana penemuduga menilai bahawasanya anda cuma memberikan perspektif dari sudut anda sahaja sedangkan apabila dirujuk kepada syarikat lama, masalah sebenarnya datang dari anda seperti mengengkari arahan, malas, datang lambat dan sebagainya. Segala kesilapan atau kekurangan syarikat lama anda tidak perlu diketahui oleh sesiapapun. Ingat, membuka aib seseorang adalah lebih buruk daripada pelakunya dan aib anda sendiri malah akan dibuka di hadapan rumah anda sendiri (mafhum Hadis). Tiada siapa yang sempurna dan profesional dalam menjawab soalan walaupun anda cuma memohon jawatan kerani.

Jangan sekali-kali menyangkal pendapat penemuduga walaupun anda tahu ianya salah kerana yang ingin mencari kerja adalah anda dan bukannya mereka. Jangan sekali-kali menegakkan idea anda kerana sesi temuduga bukanlah tempatnya. Kadangkala di sesetengah tempat, terlalu idealistik boleh menyukarkan permohonan anda melainkan pendapat anda selari dengan penemuduga. Jangan membodek penemuduga ataupun memuji berlebih-lebihan. Jangan benarkan sebarang ruang yang tidak perlu untuk dipersoalkan oleh penemuduga seperti kekurangan dokumen dan sebagainya. Perkara-perkara sebegini cuma menyulitkan anda. Teruskan sesi temuduga seperti yang dikehendaki oleh penemuduga dan menjawab soalan seperti yang dikehendaki.  

 

Tatacara Berpakaian ketika Temuduga

Tatacara Berpakaian

Formal (Berpakaian ke pejabat/eksekutif/temuduga sektor kerajaan tidak mengira Gred)

 Lelaki

Kemeja lengan panjang (lengan tidak dibenarkan lipat). Berwarna cerah seperti putih, biru lembut dan lain-lain, berjalur ke bawah ataupun kosong. Elakkan pemakaian yang gelap ataupun bercorak)

Bertali leher (warna yang agak kontra dengan baju). Dicadangkan biru atau merah, berbintik atau berjalur. Kelihatan lebih eksekutif. Corak lain dibenarkan tetapi elakkan bermotif ‘kartun’ atau bergambar)

Seluar slack (khakis tidak dibenarkan sama sekali)

Tali pinggang yang bersesuaian (kepala tali pinggang hendaklah yang simple)

Kasut hitam ke pejabat (kasut sport tidak dibenarkan sama sekali)

Sarung kaki berwarna gelap (warna putih tidak dibenarkan sama sekali)

Elakkan pemakaian aksesori yang tidak perlu seperti gelang dan rantai

Blazer (untuk mendapatkan penambahan markah)

 Perempuan

Blouse

Seluar slacks atau skirt bawah paras lutut (pemakaian tidak terlalu menjolok mata)

(atau)

Baju kurung (paling mudah dan selamat tetapi elakkan terlalu bergemerlapan @ glitter)

Make up yang tidak keterlaluan

Kasut yang bersesuaian

Jika bertudung, elakkan terlalu stylish

Elakkan pemakaian aksesori yang tidak perlu

Blazer (untuk mendapatkan penambahan markah)

 Dokumen yang perlu dibawa

Sila pastikan anda menyemak segala keperluan yang diminta oleh pihak penemuduga. Sebarang kesilapan ataupun kekurangan dokumen akan menjejaskan permohonan anda serta dikhuatiri keyakinan anda akan menurun apabila dipertikaikan. Anda hendaklah menjustifikasikan dokumen yang tidak lengkap seperti menyertakan surat sokongan universiti atau salinan yang diperlukan.

Latar belakang akademik yang tidak bersesuaian

Sila rujuk Soalan-soalan Lazim